Khamis, 19 Februari 2009

Jom Undi!

Am
18 Februari, 2009 20:06 PM

Undi Sipadan Sebagai Alam Semula Jadi Ajaib Dunia

KOTA KINABALU, 18 Feb (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman meminta semua rakyat Malaysia memberikan undi mereka dalam satu kempen online www.new7wonders.com/nature bagi menyenaraikan Pulau Sipadan sebagai satu daripada tujuh keajaiban alam semula jadi dunia yang baru.

"Sipadan adalah permata dasar laut yang amat popular dalam kalangan penyelam di seluruh dunia. Kita seharusnya berbangga dengannya, dan sehubungan itu saya meminta semua orang termasuk pelancong memberikan undi bagi tujuh keajaiban alam semula jadi dunia yang baru," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Katanya rakyat Malaysia di Sabah perlu memberikan sokongan mereka terhadap kempen online ini dan mewujudkan kesedaran untuk mengundi destinasi pelancongan itu kerana pencalonan Sipadan sudah merupakan satu penghormatan.

Sipadan adalah satu daripada 261 calon bagi tujuh keajaiban alam semula jadi dunia yang baru bersama tarikan alam semula jadi lain seperti Ko Phi Phi di Thailand, Grand Canyon dan Air Terjun Niagara di Amerika Syarikat dan barisan terumbu karang besar, Great Barrier Reef di Australia.

"Saya dimaklumkan bahawa Sipadan dicalonkan oleh penyelam-penyelam yang pernah berkunjung ke sana. Saya pasti sejumlah penyelam asing memberikan pencalonan itu. Jika pelancong asing boleh memberi sokongan mereka, kita rakyat Malaysia seharusnya memberi sokongan penuh," katanya.

Musa turut mengarahkan pihak berkuasa memastikan ekosistem marin di sekitar Sipadan terus dilindungi.

sumber:BERNAMA

Tiada ulasan: