Isnin, 20 Julai 2009

Kitar Semula

Salam...
Pernah dengar pepatah "Melentur buluh,bairlah dari rebungnya"...
Kali ini kita membawakan berita...
Kitar semula...
Selamat membaca...

Semai amalan kitar semula


PEMENANG tempat pertama kategori sekolah menengah, SMK Bukit Jelutong.



PELAJAR-PELAJAR sekolah yang menyertai pertandingan kitar semula anjuran F&NCC dan MBSA bergambar bersama penganjur.


MENANAM amalan kitar semula dalam diri seseorang bukan mudah sekiranya ia tidak disemai dan dilatih ketika usia muda.

Berasaskan rasa tanggungjawab untuk menyelamatkan bumi daripada limpahan sampah-sarap yang sebenarnya masih boleh digunakan lagi, pelbagai pihak tidak ketinggalan menganjurkan program kitar semula.

Langkah yang sama turut dilakukan oleh F&N Coca-Cola (M) Sdn. Bhd., (F&NCC) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam membentuk anak-anak muda khususnya golongan pelajar supaya mempraktikkan amalan kitar semula.

Namun, ia bukan sekadar program kosong, sebaliknya satu pertandingan yang mampu meningkatkan semangat pelajar untuk menjayakan kempen kitar semula.

Nampak gayanya program berbentuk pertandingan itu memberikan impak yang besar. Hasil titik peluh 32 buah sekolah rendah dan menengah yang terlibat 'Kempen Kitar Semula F&NCC & MBSA Kali Ke-3' berjaya mengumpulkan sebanyak 105,394.80 kilogram (kg) barangan kitar semula.

Pada mulanya barangan tersebut hanya dibuang di kawasan pelupusan tetapi berjaya dipungut dan dihantar ke pusat kitar semula di sekitar Selangor.

Datuk Bandar Shah Alam, Mazlan Mohd. Noor meluahkan rasa bangga dengan usaha cemerlang para pelajar, guru dan ibu bapa yang menjayakan kempen berkenaan.

"Saya mendapati kempen kitar semula berjaya mencetuskan kreativiti dalam kalangan pelajar. Mereka mengilhamkan pelbagai cara dan strategi baru untuk menang serta bertanggungjawab terhadap amalan kitar semula.

"Diharapkan susulan kempen ini, para pelajar akan meneruskan tabiat dan budaya kitar semula kerana faedahnya begitu besar," ujar Mazlan.

Bagi kategori sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan (SK) TTDI Jaya memecah rekod dengan mengutip seberat 21,874kg barangan kitar semula.

Mereka berjaya membolot hadiah wang tunai RM1,300 selaku pemenang kategori sekolah rendah dan RM600 selaku pemenang Anugerah Khas ekoran kejayaan memungut seberat 1,459 kg barangan plastik, jumlah terbanyak bagi kategori sekolah rendah dan menengah.

Tempat kedua dimiliki oleh SK Seksyen 9 dengan jumlah kutipan 8,696 kg dan SK Seksyen 19 selesa di tempat ketiga.

Sementara itu, bagi sekolah menengah pula, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong berjaya mengumpul kutipan sebanyak 10,676kg dan membawa pulang hadiah tempat pertama wang tunai sebanyak RM1,300.

"Kemenangan ini meningkatkan semangat kami untuk mencapai jumlah kutipan lebih 25,000kg pada tahun depan," kata Penasihat Kelab Pencinta Alam, SMK Bukit Jelutong, Azka Zihni Mohd. Azhar.

Tempat kedua pula SMK Seksyen 19 yang berjaya memintas SMK Seksyen 18.

Menurut Pengurus Besar Sumber Manusia & Hal Ehwal Korporat F&NCC, Simon Sim, matlamat mereka adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kebaikan jangka panjang kitar semula di samping menyahut seruan kerajaan menggalakkan kempen kitar semula.

1 ulasan:

REMEDY KARUNG GUNI berkata...

Harap Tuan dapat pautkan sekali link kitar semula komputer ni ya.

Terima Kasih

Memang budaya kitar semula ni termat baik...dapat menurangkan sisa pepejal dan sebagainya.

Kalau ada sesiapa yang nak lupus atau buang komputer atau peralatan komputer rosak boleh hubungi saya.

"Kitar Semula Komputer" untuk tunai

http://kitaransemula.blogspot.com/2010/09/komputer-rosak-remedy-nak-beliada.html