Khamis, 7 Mei 2009

Cuti2 Malaysia...








Balak ratusan tahun jadi kanopi


>>Teks, Mohd Rifaat Abd Hamid

rencana@hmetro.com.my

KEDAH terkenal dengan keindahan Pulau Langkawi. Namun, ramai yang tidak mengetahui, ia memiliki lebih banyak tarikan semula jadi selain pulau peranginan itu.


Hutan Lipur Puncak Janing di Bukit Perangin dekat Kuala Nerang umpamanya boleh menjadi pilihan percutian jika anda mahukan suasana damai dan jauh dari kesibukan kota.


Tidak seperti destinasi percutian lain, air terjunnya tidak terlalu tinggi, tetapi dikelilingi kehijauan alam semula jadi yang masih terpelihara.

Keindahannya terletak pada air terjun empat tingkat yang mengalir di celah bongkah batu memberikan pemandangan menarik kepada sesiapa saja yang mengunjunginya.

Justeru, tidak hairanlah ramai yang berkunjung ke sini untuk merehatkan fikiran sambil beriadah bersama ahli keluarga.

Pengunjung tidak perlu risau kerana aliran sungainya perlahan dan paras air yang cetek memudahkan anak kecil mandi manda.

Selain menikmati air sungai yang mengalir terus dari banjaran pergunungan, pengunjung juga dapat melihat pelbagai spesies tumbuhan yang dikomersialkan sebagai produk kesihatan.

Tidak perlu pergi jauh, kawasan sekitar tempat perkelahan ini juga sesuai untuk mereka yang mahu melihat pokok hutan sebesar sepemeluk orang dewasa.

Ada yang mengatakan, terdapat pokok di situ berusia ratusan tahun antaranya kasai, tulang daing, meranti tembaga, cengal, keruing, palma dan rotan.

Pokok balak ini secara tidak langsung menjadi kanopi semula jadi di kawasan tebing memudahkan pengunjung bersantai dalam suasana redup.

Bagi mereka yang meminati aktiviti lasak seperti merentas hutan, Jabatan Perhutanan turut membina denai tiga kilometer (km) menghubungkan kawasan rekreasi ini dengan Hutan Lipur Bukit Wang.

Latar semula jadi hutan rekreasi ini juga menjadi faktor ia dipilih sebagai lokasi penganjuran aktiviti sukan lasak antarabangsa termasuk Rainforest Challenge (RFC), beberapa tahun lalu.

Peminat motosikal lasak juga boleh meneroka keindahan hutan ini menerusi litar lumba yang disediakan.

Info

> Bagi menarik lagi pengunjung ke sana, Jabatan Perhutanan turut menyediakan kemudahan asas seperti dewan, kedai makanan, surau, tandas, pondok dan padang untuk aktiviti berkumpulan, selain untuk tempat letak kereta.

> Kawasan rekreasi ini terletak 14km dari pekan Kuala Nerang iaitu 14 km dan 50 km dari Alor Star. Selain itu, mereka yang datang secara berkumpulan juga boleh menggunakan bas berikutan jalan yang diturap dengan baik.


Khazanah tak ternilai

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my


AKARNYA yang tercacak di permukaan pasir menghalang hakisan ombak. Di celahnya, udang, ketam, kerang dan anak ikan menjadi sumber makanan kepada pemangsa.

AKARNYA yang tercacak di permukaan pasir menghalang hakisan ombak. Di celahnya, udang, ketam, kerang dan anak ikan menjadi sumber makanan kepada pemangsa.

Batangnya dibakar dijadikan arang kayu sebagai sumber tenaga dan tujuan kosmetik.


Begitu banyak kegunaan kayu bakau, namun masih ramai yang tidak menyedari kepentingan menjaga hutan jenis ini bagi memastikan keseimbangan alam sekitar.

Penolong Pengarah Hutan Daerah Larut dan Matang, Mohd Suhaimi Md Noor, berkata Perak mempunyai kawasan hutan simpan kekal seluas kira-kira satu juta hektar.

Katanya, daripada jumlah itu, lebih 40,000 hektar adalah Hutan Paya Laut Matang menjadikannya hutan paya laut terbesar di Semenanjung.

"Hutan ini meliputi Kuala Gula di utara dan berakhir di Bagan Panchor di selatan, sepanjang 51.5 kilometer (km) serta meliputi 19 hutan simpan.

"Ia dikenali sebagai Hutan Paya Laut Matang kerana kebanyakannya terletak di daerah pentadbiran Matang," katanya.

Diwartakan sebagai hutan simpan kekal pada 1906 dan sejak 1908, ia diuruskan Jabatan Perhutanan Perak dan diiktiraf sebagai pengurusan hutan bakau terbaik dunia.

Pengunjung akan dibawa menyusuri keindahan flora dan fauna menerusi pelantar kayu sepanjang 1.2 km selama setengah jam.

Selain melihat dua spesies bakau utama iaitu Bakau Minyak dan Bakau Kurap, peserta dapat melihat ketam kecil dan kera yang menjadi penghuni setia hutan paya ini.

Mohd Suhaimi berkata, pengunjung dijamin tidak akan bosan dengan pelbagai aktiviti berorientasi alam sekitar.

"Antaranya, lawatan ke tapak arkeologi menempatkan tapak perkuburan purba. Hasil kajian mendapati ada 16 rangka manusia dianggarkan berusia 1,800 tahun.

"Mereka juga boleh menyusuri sungai untuk melihat ikan lumba-lumba dan memerang yang tersesat ke kawasan kuala ini," katanya.

Menurutnya, tarikan lain adalah melihat sendiri proses penghasilan arang kayu daripada pokok bakau di kilang berhampiran.

Ada 60 dapur arang yang dibina sejak 1930-an sedia untuk dilawati. Pemerosesan arang kayu dilakukan secara berterusan di situ.

Pelancong juga dapat melihat nelayan menjalankan perusahaan ternakan ikan dalam sangkar, mengambil kerang dan menangkap ketam.

Sumber: Harian Metro,6/5/09



Tiada ulasan: