Selasa, 4 Julai 2017
Ahad, 4 Oktober 2009
Hutan ooo hutan...
Sori lama x log in...
Buzy la...
Ni ada info baru...
Slamat membaca...
Memusnah ladang sawit haram
AKTIVITI pembalakan haram 'meratah' hutan di Indonesia.
SELAMA berdekad-dekad, bunyi bising gergaji di Taman Negara Indonesia hanya menandakan satu perkara iaitu aktiviti pembalakan haram yang 'meratah' kawasan hutan. Sekarang, bunyi bising gergaji membawa berita baik kepada masyarakat setempat. Semuanya kerana ia merupakan sebahagian daripada usaha menghalang pertumbuhan perladangan kelapa sawit secara haram di kawasan hutan hujan terlibat.
Tindakan itu juga dipercayai mampu mengekang masalah pembasmian hutan tanpa kawalan, selain mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida. Penghentian aktiviti pembalakan untuk aktiviti perladangan kelapa sawit turut menyumbang kepada pemuliharaan ekologi alam yang terpenting di hutan tropika serta habitat haiwan.
Dalam tindak balas pertama dan cukup efektif, beberapa buah badan bukan kerajaan iaitu Agensi Pemeliharaan Aceh (Bpkel) dan pasukan polis telah berganding bahu untuk menghapuskan puluhan ribu ladang kelapa sawit. Ia beroperasi secara haram di ekosistem Leuser seluas 2.5 juta hektar.
LONGGOKAN buah kelapa sawit sedia untuk diangkut ke kilang.
"Spekulator perladangan, pemaju atau tak kira apa jua panggilan yang diberi bertindak membangunkan kawasan tersebut dengan sewenang-wenangnya," kata Mike Griffiths dari Bpkel, sebuah agensi yang ditubuhkan oleh Gabenor Aceh, Yusuf Irwandi. Bpkel menguruskan Leuser sejak 2006 setelah wilayah yang terletak di bahagian utara Sumatera itu meraih mandat besar dari Jakarta, Indonesia.
"Mereka buat apa sahaja sesuka hati. Masuk hutan, tebang pokok dan tanam tanaman seumpama ini seperti kawasan mereka sendiri," katanya.
Setahun selepas Indonesia mengambil alih gelaran pengeluar minyak kelapa sawit terbesar di dunia daripada Malaysia, ratusan peladang haram dipercayai menjadi dalang kepada kekuasaan sumber itu. Sebuah laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 2007 mendapati penukaran status hutan kepada penanaman kelapa sawit menjadi punca utama penebangan hutan.
Situasi itu wujud di 37 daripada 41 taman negara di Indonesia. Leuser, hutan hujan terbesar di Sumatera dan habitat semula jadi terakhir bagi harimau Sumatera, gajah, orang hutan dan badak sumbu yang berada di ambang kepupusan, diklasifikasikan sebagai hutan yang paling terjejas teruk.
Badan-badan pengelolaan industri kelapa sawit seperti Persatuan Kelapa Sawit Indonesia (Gapki) bertegas supaya semua operasi perladangan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan dan sesiapa sahaja yang melanggari arahan itu akan dikenakan tindakan keras.
Di Leuser, sebanyak 11 estet dikenal pasti di kawasan seluas 12,000 hektar dan ia merupakan sejumlah kecil daripada 50 perladangan haram seperti mana yang diadu oleh Bpkel. Badan-badan bukan kerajaan di Aceh menyalahkan kegiatan rasuah menjadi penyebab utama.
Poket pegawai penguat kuasa diisi dengan wang sogokan bernilai jutaan rupiah bagi mendapatkan tawaran atau dokumen sokongan sah. Bagaimanapun, pegawai perhutanan menyatakan kekaburan maklumat dan kekeliruan adalah faktor penggalak penularan rasuah.
Peta yang tidak jelas, pertindihan hak milik tanah dan percanggahan kawasan penguasaan antara penduduk tempatan, syarikat dan wakil kerajaan menyukarkan kerajaan menentukan sempadan hutan. Ini termasuk hutan Leuser yang diwartakan di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
PENGUATKUASAAN yang lemah menjadi antara punca pembalakan haram berleluasa di hutan Indonesia.
"Sempadan ini tidak bersamaan dengan keluasan kawasan di atas tanah," ujar Syahyahri, Ketua Jabatan Perhutanan Aceh Tamiang.
"Penduduk kampung tidak tahu siapa yang memiliki hutan ini kerana tidak pernah lihat di atas peta. Baru sekarang, kita kumpul maklumat untuk membina sempadan tetap," ujarnya.
Industri kelapa sawit Indonesia juga dipersalahkan bagi pembebasan berbilion-bilion tan karbon dioksida ke ruang udara. Selain itu, penghantaran dan pembekalan minyak sawit ke negara luar bagi industri coklat, syampu, sabun dan minyak biologi turut menyebabkan pengguna terdedah kepada risiko ramuan yang tidak sah.
Memandangkan isu itu telah menjadi tajuk utama sejak sekian lama, kini wujud satu pertimbangan serius ke atas impak yang ditinggalkan pada alam sekitar dan struktur sosial.
Selain penarikan keluar sumber pelaburan, syarikat Cadbury di New Zealand telah menghentikan penggunaan minyak sawit setelah ditentang oleh sekumpulan pejuang aktiviti penebangan hutan.
Namun begitu, bagi sesetengah pihak yang lain, aktiviti pembalakan itu seperti sesuatu yang boleh diterima akal.
Dengan banyak tanah sah yang telah diperuntukkan untuk tujuan tertentu, penguatkuasaan yang lemah, sumber tenaga kerja yang amat besar di kawasan terpencil dan harga minyak sawit yang tinggi, ia menjadi faktor pendorong semua itu terjadi. - Reuters
Sumber: kosmo online
Selasa, 21 Julai 2009
Alam Damai
Alam terpelihara...
Nikmati nya...
ALAM DAMAI
Jungle Lodge mewah kehijauan
“NASIB baik kawasan ini tidak diwartakan sebagai sebuah taman rekreasi. Kalau tidak ia mungkin menerima nasib yang sama seperti Sungai Congkak dan pusat rekreasi yang lain,” ujar Pengurus cawangan The Jungle Lodge Alang Sedayu di Ulu Gombak, Selangor, Baiduri Mohamed Hassan.
Benar, ‘dara’ kawasan hijau Hutan Simpan Hulu Gombak itu masih begitu kuat terasa. Malah, udara yang dihirup di situ cukup menyegarkan. Bunyi air sungai yang mengalir pula mudah saja menguntumkan senyuman di wajah.
Mula beroperasi sejak tahun 1991, kem yang beroperasi bersebelahan dengan hutan simpan primer berusia lebih 130 tahun itu sebenarnya terbina kerana ‘dendam’ pemiliknya, Anthony Wong, 52, terhadap sikap ambil mudah orang ramai ke atas usahanya untuk menimbulkan kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar.
“Ketika saya berceramah, mereka menunjukkan minat dan persetujuan terhadap apa yang saya bentangkan. Tetapi rupa-rupanya mereka sekadar bermuka-muka. Apa yang mereka cakap dan apa yang mereka buat ialah dua perkara yang berbeza,” kata Wong yang aktif sebagai aktivis alam sekitar.
Situasi itu membuatkannya berfikir panjang. Akhirnya dia akur – kalau hendak melentur buluh, biarlah daripada rebungnya.
Jungle Lodge Alang Sedayu, kata Wong, dibina bagi mendidik kanak-kanak menghargai alam semula jadi. Namun, di luar jangkaannya, setelah beroperasi, ia menarik perhatian banyak pihak, termasuk pelancong asing dan kumpulan insentif yang mewakili syarikat gergasi dari serata dunia sebagai tapak kem motivasi.
|
|
|
|
“Jungle Lodge seperti duta kepada Malaysia. Ia mewakili sebahagian kemewahan alam semula jadi yang dapat ditemui di Malaysia,” ujar Pengarah Urusan Kumpulan Asian Overland Services (AOS) itu.
Terpeta di atas tanah seluas 2.2 hektar berdekatan kawasan penempatan Orang Asli Kaum Semai, Wong mendedahkan, kem itu menggunakan khidmat generator untuk membekalkan tenaga elektrik dan air sehingga tahun 1997.
“Ia satu proses yang panjang. Tetapi syukur, sekarang sudah ada bekalan elektrik dan air,” katanya.
Menariknya, kem yang menawarkan aktiviti dan laluan treking itu menggunakan laluan yang merupakan dua terowong dari zaman peninggalan tentera komunis pada era Perang Dunia Kedua.
Banglo dua tingkat di tengah hutan
Menjadi satu-satunya kem yang diiktiraf dan menepati piawaian Akreditasi Kem Amerika (ACA) di Malaysia, Jungle Lodge memiliki sebuah banglo yang menarik yang ditempatkan di tengah-tengah kem itu.
“Ia tidak pernah diganti. Inilah bangunan asalnya, masih kukuh dan berada dalam keadaan yang baik,” tambah Wong.
|
|
Bangunan dua tingkat yang dibina dalam gaya Melayu lama itu tampak begitu gah terutama apabila dikelilingi kehijauan alam semula jadi. Warna coklat kayunya juga sedikit pun tidak lusuh dimakan cuaca mahupun masa.
Tingkat bawah dibuka sepenuhnya dengan ruang santai tanpa dinding kecuali pada bahagian tandas dan pejabat di tengah-tengah binaan. Meninggalkan tiang-tiang berdiri dengan iringan pagar beranda setinggi paras pinggang, dari situ orang ramai dapat menikmati pemandangan air Sungai Pisang yang deras mengalir.
Menurut Baiduri, bahagian itu dijadikan sebagai salah satu tempat beraktiviti, khususnya aktiviti di dalam bangunan.
“Seperti untuk hari ini, kami mendapatkan perkhidmatan Orang Asli tempatan untuk membuat tarian sewang. Di sinilah ia dijalankan,” kata Baiduri.
Menyaksikan sendiri tarian itu dilakukan, ruang itu adalah pilihan yang baik kerana ia menyumbang kepada suasana mesra memandangkan material kayunya yang selesa.
Di tingkat atas, enam bilik tetamu sedia menanti. Empat daripadanya siap dipasang jaring pada setiap tingkap.
“Di sini tidak banyak nyamuk kerana kami sering menjalankan penyemburan menghalau nyamuk,” kongsi Baiduri yang menganggap pemasangan jaring itu turut meyakinkan tetamu terhadap tahap penjagaan kesihatan di situ.
Kem itu juga menyediakan bilik asrama yang boleh menempatkan sehingga 100 orang pada satu masa.
Buat mereka yang mahukan cabaran alam, tapak perkhemahan yang dapat memuatkan 60 khemah serentak juga sedia digunakan.
Sumber...Kosmo online...
Isnin, 20 Julai 2009
Kitar Semula
Pernah dengar pepatah "Melentur buluh,bairlah dari rebungnya"...
Kali ini kita membawakan berita...
Kitar semula...
Selamat membaca...
Semai amalan kitar semula
MENANAM amalan kitar semula dalam diri seseorang bukan mudah sekiranya ia tidak disemai dan dilatih ketika usia muda.
Berasaskan rasa tanggungjawab untuk menyelamatkan bumi daripada limpahan sampah-sarap yang sebenarnya masih boleh digunakan lagi, pelbagai pihak tidak ketinggalan menganjurkan program kitar semula.
Langkah yang sama turut dilakukan oleh F&N Coca-Cola (M) Sdn. Bhd., (F&NCC) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam membentuk anak-anak muda khususnya golongan pelajar supaya mempraktikkan amalan kitar semula.
Namun, ia bukan sekadar program kosong, sebaliknya satu pertandingan yang mampu meningkatkan semangat pelajar untuk menjayakan kempen kitar semula.
Nampak gayanya program berbentuk pertandingan itu memberikan impak yang besar. Hasil titik peluh 32 buah sekolah rendah dan menengah yang terlibat 'Kempen Kitar Semula F&NCC & MBSA Kali Ke-3' berjaya mengumpulkan sebanyak 105,394.80 kilogram (kg) barangan kitar semula.
Pada mulanya barangan tersebut hanya dibuang di kawasan pelupusan tetapi berjaya dipungut dan dihantar ke pusat kitar semula di sekitar Selangor.
Datuk Bandar Shah Alam, Mazlan Mohd. Noor meluahkan rasa bangga dengan usaha cemerlang para pelajar, guru dan ibu bapa yang menjayakan kempen berkenaan.
"Saya mendapati kempen kitar semula berjaya mencetuskan kreativiti dalam kalangan pelajar. Mereka mengilhamkan pelbagai cara dan strategi baru untuk menang serta bertanggungjawab terhadap amalan kitar semula.
"Diharapkan susulan kempen ini, para pelajar akan meneruskan tabiat dan budaya kitar semula kerana faedahnya begitu besar," ujar Mazlan.
Bagi kategori sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan (SK) TTDI Jaya memecah rekod dengan mengutip seberat 21,874kg barangan kitar semula.
Mereka berjaya membolot hadiah wang tunai RM1,300 selaku pemenang kategori sekolah rendah dan RM600 selaku pemenang Anugerah Khas ekoran kejayaan memungut seberat 1,459 kg barangan plastik, jumlah terbanyak bagi kategori sekolah rendah dan menengah.
Tempat kedua dimiliki oleh SK Seksyen 9 dengan jumlah kutipan 8,696 kg dan SK Seksyen 19 selesa di tempat ketiga.
Sementara itu, bagi sekolah menengah pula, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong berjaya mengumpul kutipan sebanyak 10,676kg dan membawa pulang hadiah tempat pertama wang tunai sebanyak RM1,300.
"Kemenangan ini meningkatkan semangat kami untuk mencapai jumlah kutipan lebih 25,000kg pada tahun depan," kata Penasihat Kelab Pencinta Alam, SMK Bukit Jelutong, Azka Zihni Mohd. Azhar.
Tempat kedua pula SMK Seksyen 19 yang berjaya memintas SMK Seksyen 18.
Menurut Pengurus Besar Sumber Manusia & Hal Ehwal Korporat F&NCC, Simon Sim, matlamat mereka adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kebaikan jangka panjang kitar semula di samping menyahut seruan kerajaan menggalakkan kempen kitar semula.
Rabu, 15 Julai 2009
Kayu Terpakai...
Hr ni saya nak ajak shbt2 berbisnes...
Slmt membaca...
Kayu terpakai lebih bernilai
Kalau ternampak bangunan kayu lama hendak dirobohkan, fikirkan peluang.
"RAMAI orang tak percaya kepada kayu terpakai. Bimbang tidak tahan lama, tidak kukuh dan sebagainya. Hakikatnya sifat kayu, lebih kering lebih tahan lama kerana ia lebih keras.
"Tetapi perlu faham juga ragam kayu berlainan spesies. Bukan semua jenis kayu sesuai dipasang pada semua bahagian rumah," kata kontraktor pembinaan dan rekaan daripada Zaki Carpenter, Ku Zaki Ku Mansor, 39.
Tambah Zaki, kayu yang lebih matang lebih jelas kecantikan urat kayunya. Aspek itu tentu penting buat mereka yang benar-benar menghargai elemen kayu.
Kayu terpakai juga, kata Zaki, separuh lebih murah berbanding harga kayu baru, sedangkan kayu baru lebih banyak ragamnya kerana belum cukup matang.
"Lebih cantik, lebih tahan lama dan lebih murah. Bagi saya ia lebih memberi kepuasan kerana kayu lama banyak kelebihannya," kongsinya yang menerangkan kayu baru memerlukan masa sekurang-kurangnya 10 tahun untuk kering.
Demi menunjukkan kesan yang dapat dihasilkan melalui kayu terpakai, Zaki menjemput krew Jurnal untuk melihat sendiri sentuhannya pada sebuah rumah teres di Subang Jaya, Selangor.
"Untuk rumah ini, kami gunakan 100 peratus kayu terpakai yang berusia lebih 80 tahun daripada spesies merbau, cengal dan balau," ujar Zaki ketika mempelawa kami masuk ke pekarangan rumah itu.
Dari pagar dan dinding depan rumah sehinggalah ke pintu utama, kekuatan aura elemen kayu begitu terasa.
Mungkin juga kerana ia kelihatan sangat jauh berbeza berbanding rumah yang mengapitnya di kedua-dua belah. Namun, yang jelas, rumah itu terasa 'hidup'.
Memasang dek di depan pintu masuk utama, pintu itu juga mudah menarik perhatian.
"Kemungkinan besar pintu ini pernah digunakan di mahkamah. Lihat saja saiz daun pintu, engsel dan selaknya. Ia juga dicat sehingga enam lapis.
"Orang lain tak mahu membelinya kerana cat itu. Tetapi saya percaya ia dapat menghasilkan sebuah pintu yang cantik kalau dikikis catnya," kata anak kelahiran Kedah itu.
Fahami sifat kayu
Memijak lantai di dalam rumah yang dilapisi kayu sepenuhnya, bunyi berkeriut yang dihasilkan mudah mengimbau ingatan penulis terhadap rumah kampung yang sudah lama dirobohkan.
Aras lantai ruang tamu itu tidak berapa tinggi, namun keterujaan merasa kelembutan kayunya tetap sama.
"Kalau orang tak faham ragam kayu, susah untuk mereka menerima 'kekurangan' kayu. Kalau kayu merekah, bukan kerana ia tidak tahan, tetapi mungkin sebab terlalu keras.
"Menjadi sifat kayu juga mengembang ketika cuaca panas dan mengecut apabila sejuk. Kayu juga tidak ada yang sempurna. Keras sepenuhnya atau lembut sepenuhnya.
"Tak ada sekeping kayu yang betul-betul sama dengan kepingan yang lain walaupun sama jenis," terang Zaki panjang lebar.
Benar-benar menghayati ilmu perkayuan, rupa-rupanya Zaki sudah pergi ke merata tempat untuk mempelajari ragam kayu, termasuklah ke Myanmar untuk mengkaji kayu jati terbaik di dunia di sana.
"Kalau mahu jadi tukang kayu, kena tahu sekurang-kurangnya 10 jenis kayu dengan baik, barulah mudah untuk buat kerja," ujarnya.
Beliau menambah, mengubahsuai rumah dengan memasukkan kayu terpakai lebih lancar sekiranya semua pihak yang terlibat meminati kayu.
"Ini kerana bukan mudah untuk menerangkan ragam kayu yang terlalu banyak," katanya yang sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam pertukangan kayu.
Rumah yang didiami empat isi rumah itu bagaimanapun masih berdinding simen.
"Selalunya saya pergi mencari sumber kayu dahulu sebelum duduk bersama arkitek, jurutera dan tuan rumah untuk menghasilkan satu-satu pelan rekaan.
"Bajet tuan rumah juga perlu diperhatikan. Tambahan, untuk zaman sekarang, walaupun tuan rumah mahukan unsur tradisional, lebih sesuai untuk menggabungkan simen dan kayu supaya ia tidak kelihatan terlalu 'lama,'" jelas Zaki.
Lebih banyak guna pasak
Menariknya, Zaki berkongsi, ubahsuai menggunakan kayu terpakai itu juga dilakukan menggunakan teknologi kuno.
"Semua penyambungan (kayu) dilakukan dengan menggunakan pelbagai jenis tanggam, pasak, dan baji. Jadi tidak banyak paku digunakan di sini.
"Selain menjimatkan, ia selaras dengan kemahuan pemilik yang mahu mewujudkan unsur tradisional di dalam rumah ini," jelasnya.
Ditanya lanjut tentang kayu terpakai, kata Zaki, ia datang daripada bangunan lama yang dirobohkan seperti kilang, sekolah dan rumah.
"Kalau ada bangunan kayu lama yang hendak dirobohkan, cepat-cepat saya ke sana untuk membeli kayu. Tetapi tidak boleh terus beli. Kena menang tender juga kerana walaupun pasarannya kecil, tetap ada pemainnya.
"Sumber selalunya terhad. Disebabkan itu, ia mengambil masa antara satu hingga dua bulan untuk saya mendapatkan bahan bagi satu-satu projek pembinaan atau pengubahsuaian," jelasnya.
Di petik dr Kosmo on9...
Isnin, 13 Julai 2009
Maliau Basin
Salam, Jom la pergi Sabah...
Pusat kajian flora dan fauna
ahmadsyukran.zainuddin@kosmo.com.my
Asalnya adalah konsesi balak milik Yayasan Sabah. Namun, hari ini Lembangan Maliau menjadi syurga untuk pencinta alam yang dambakan kehijauan yang masih terpelihara.
"KALAU tutup mata pun saya boleh balik ke kem. Tiada masalah," kata lelaki itu dengan nada selamba. Peliknya, saya tidak menghidu sebarang rasa riak dalam diri lelaki berusia 25 tahun yang lebih senang dengan panggilan Rudy.
Sebaliknya, kenyataan itu dibuat kerana dia begitu bangga bertugas sebagai salah seorang ranger (penjaga hutan) di hutan hujan tropika yang berusia jutaan tahun tersebut.
Malam itu gelap pekat. Angin kadangkala bertiup keras, menggoyangkan dahan dan daun yang menghasilkan kesan bunyi yang agak menyeramkan.
Sementara bintang-bintang pula seakan-akan disorok di balik awan tebal yang sarat mengandungi air, hanya menunggu masa untuk dicurah ke bumi.
Atas rasa ingin tahu dan mahu melihat binatang liar seperti rusa atau musang melintas di depan mata, perasaan itu terpaksa disimpan seketika.
Termangu dalam gelap, semua tangan sibuk menghalakan lampu suluh ke arah dahan-dahan pokok dan semak berhampiran. Dengan harapan, untuk melihat binatang atau serangga yang aktif mencari hidangan pada waktu malam.
"Tengok atas tu. Ada dua mata berkilat-kilat," kata seorang rakan, memecah kesunyian. Pantas, semua lampu disorot ke arah yang sama dan mula meneka apakah binatang itu sebenarnya.
Syurga penyelidik
Setelah mengamati objek itu beberapa ketika, Rudy memberitahu itu adalah seekor tupai terbang. Sewaktu perjalanan pulang, Rudy sempat menunjukkan kesan tapak kaki rusa yang masih baru di atas laluan berlecak itu.
"Rusa lalu di sini tadi. Mungkin sebab kita bising, jadi dia lari lah," katanya.
Hutan yang dipanggil Lembangan Maliau atau Maliau Basin ini sememangnya menjadi syurga kepada para penyelidik dan pencinta flora dan fauna.
Diselia oleh Yayasan Sabah, pengawasannya turut dibantu oleh beberapa pihak lain termasuklah Jabatan Perhutanan Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Muzium.
Disebabkan keunikan Lembangan Maliau, perjalanan sukar dan berdebu sejauh lebih 100 kilometer dirasakan cukup berbaloi.
Lembangan Maliau yang diliputi hutan asli seluas 390 kilometer persegi itu sebenarnya disempadani oleh tebing yang menjangkau ketinggian 1,675 meter dari aras laut.
Keistimewaan Maliau Basin pastinya tertumpu kepada kepelbagaian spesies hidupan liar, sumber air sungai dan air terjunnya. Maka tidak hairanlah jika ia sangat berpotensi menjadi satu lokasi pusat kajian yang sempurna.
"Kawasan ini masih tidak terusik oleh pembangunan. Lagipun, Maliau Basin tidak dibuka kepada semua dan mesti mendapat kelulusan daripada pihak pengurusan. Mereka yang selalu datang ialah para pelajar dan penyelidik daripada universiti tempatan dan luar negara, termasuklah Universiti Harvard.
"Pengunjung juga tidak dibenarkan membuat sebarang kerosakan. Sehelai daun pun tidak boleh dicabut dan dibawa keluar," kata seorang ranger hutan dari Unit Hospitaliti dan Rekreasi, Mohd. Rafi Bunggau, 38.
Gaharu
Selaku salah seorang ranger, Rafi mengakui pasukannya berdepan cabaran dalam memastikan kayu gaharu yang sangat bernilai tidak dicuri. Harganya yang dinilai mengikut gred boleh mencecah sehingga RM8,000 sekilo (untuk gred A).
|
|
|
|
Justeru, pemantauan dan rondaan secara berkala perlu dilaksanakan. Selain itu, sekatan jalan raya juga diadakan bagi menyekat pencuri daripada membawa keluar kayu gaharu dan menjualnya di pasaran gelap.
"Tahun lalu sahaja, sudah tiga kes melibatkan kayu gaharu dicatatkan. Kami juga bertanggungjawab memantau aktiviti pemburu haram yang masuk melalui jalan-jalan pembalakan.
"Mujurlah kami mendapat bantuan daripada syarikat pembalakan untuk memberi maklumat dan melakukan pemeriksaan," tambah seorang ranger kanan, Kho Ju Ming.
Menurut Pengurus Kawasan Pemuliharan Maliau Basin (MBCA), Hamzah Tangki, 36, misteri Lembangan Maliau terletak pada geomorfologinya yang secara langsung mempengaruhi kriteria tumbuh-tumbuhannya.
Lokasi air terjun
Berdasarkan kepada penyelidikan teknikal yang sudah dilaksanakan, pihak pengurusan telah mengklasifikasikan 12 jenis ekologi tumbuhan di sana.
Lebih menarik, hutan itu menjadi lokasi kepada air terjun yang tidak terkira banyaknya. Setakat ini, lebih 10 tapak air terjun dijumpai. Masih banyak yang belum diteroka dan diberi nama.
Hamzah turut menyatakan kelegaan kerana hutan ini sudah digazetkan di bawah Perlindungan Hutan Simpan Kelas 1 bermula pada tahun 1997.
"Kini, pengurusan harus dilaksanakan secara mampan kerana Maliau Basin sudah mula dikenali sebagai satu destinasi pelancongan. Konsep kawasan yang dilindungi membuatkan kami perlu memastikan tidak wujud konflik antara aspek pelancongan dan penyelidikan.
"Jadi, pembahagian zon telah dibuat. Maknanya, ada zon yang boleh dilawati dan ada kawasan yang tidak dibenarkan masuk," katanya.
Menyentuh tentang komuniti yang tinggal berhampiran, pihaknya juga telah mengadakan pelbagai kempen kesedaran.
Terutamanya melibatkan kegiatan seperti memburu binatang dan mencari kayu gaharu yang sudah begitu lama diamalkan oleh masyarakat peribumi di sini. Apatah lagi, Lembangan Maliau terletak hampir dengan banyak kampung tradisional.
Biarpun terletak jauh dari jalan utama, Maliau Basin tidak kurang dari segi infrastrukturnya. Mula dibina sejak tahun 1999, ia dilengkapi dengan bangunan pejabat, bilik seminar, mini teater dan perpustakaan. Sementara itu, bangunan untuk para saintis dan makmal masih berada dalam proses pembinaan.
Asrama
Asramanya pula boleh menampung sehingga 64 orang dalam satu-satu masa dengan selesa. Bagi yang sukakan aktiviti lasak, mereka boleh menjalani aktiviti trekking ke kem-kem satelit untuk melihat air terjun.
Anda juga boleh menikmati keindahan alam sewaktu melalui titian gantung, laluan denai dan banyak lagi.
Pengunjung tempatan dibahagikan kepada kategori A, B dan C. Kumpulan A merujuk kepada pelajar universiti, B ialah penyelidik dan C merupakan pelawat dewasa yang datang tanpa tujuan kajian atau sebagainya.
Kategori bagi pelawat dari luar negara pula ialah D, E dan F yang merujuk kepada aspek sama seperti kategori A, B dan C.
Bayaran yang dikenakan juga berbeza. Misalnya, untuk pelawat tempatan, cajnya ialah RM15 seorang. Mereka dari luar negara dikenakan bayaran sebanyak RM50 bagi setiap individu.
Had masa untuk berada di Lembangan Maliau bergantung kepada pakej yang diambil dan kelulusan yang diterima.
Para pengunjung yang ingin bertandang ke sana digalakkan untuk memandu kenderaan pacuan empat roda walaupun sejak dua tahun lalu, Perodua Kancil sudah mampu untuk meredah laluan yang sangat berdebu dan sampai ke pintu utamanya.
"Namun, mereka perlu menghubungi kami untuk dibawa masuk menaiki trak. Mungkin dalam tempoh dua tahun akan datang, jalan utama akan siap dan akses akan menjadi lebih mudah.
"Saya berpendapat, orang ramai harus tahu tentang peranan hutan dan ekosistemnya. Sebagai contoh, Maliau Basin berfungsi sebagai pusat tadahan air untuk Sungai Kinabatangan, sungai terpanjang di Sabah.
"Harapannya, pengunjung akan lebih menghargai peranan kami dalam menjaga keharmonian alam sekitar. Sambil menikmati keindahan semula jadi, ambillah peluang untuk menimba ilmu," ujar Hamzah.
Diambil dari Kosmo...